Arsene Wenger meminta pemain Arsenal agar melupakan pertembungan dengan Chelsea serta ketiadaan penyerang yang cedera, Robin van Persie ketika mereka mahu menempah tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Satu mata di padang lawan, Standard Liege hari ini akan memastikan Gunners mara ke saingan peringkat 16 pasukan dan jika menang ke atas juara Belgium itu, ia akan memastikan mereka tangga teratas Kumpulan H.
Keputusan positif amat dialu-alukan hari ini untuk dijadikan tonik menjelang lima hari lagi perlawanan dengan Chelsea di Emirates, pertembungan penting untuk Arsenal mengekalkan prospek mencabar kejuaraan liga.
Kekalahan di luar dugaan di Sunderland, Sabtu lalu tidak dapat dielak untuk ditafsirkan sebagai tanda masalah buat Arsenal selepas kehilangan khidmat penjaring utama, van Persie yang cedera pergelangan kaki sehingga memaksa pemain Belanda itu tersisih selama enam minggu.
Faktor itu sudah pasti menghangatkan lagi pertembungan dengan Chelsea yang akan memulakan perlawanan nanti dengan kelebihan lapan mata ke atas kelab musuh mereka di London.
“Kami harus melupakan mengenai Chelsea. Adalah penting untuk memenangi perlawanan kami yang seterusnya, Liga Juara-Juara.
“Ketika menentang Sunderland, saya tidak fikir kami kehilangan sesiapa. Kami kalah dalam perlawanan yang mana kami harus menyalahkan diri sendiri kerana kami tidak menjaringkan gol.
Beberapa pemain tidak berada tahap sebenar mereka dan kami memberikan gol di tempat lawan hanya pada keadaan seperti mana Sunderland mampu menjaringkan gol tempoh hari,” kata Wenger.
Kekalahan di Sunderland adalah yang pertama selepas 14 perlawanan Arsenal, namun pertahanan tengah, Thomas Vermaelen tidak percaya ia secara serius akan mengurangkan momentum skuad yang sudah kukuh musim ini.
“Adalah penting untuk terus fokus, ada banyak perlawanan penting selepas ini,” kata pemain dari Belgium itu.
Pemain tengah Republik Czech, Tomas Rosicky baru pulih dari rehat panjang akibat kecederaan apabila membuat kemunculan pertama untuk Arsenal sejak Januari 2008 pada perlawanan pembukaan kumpulan, menang 3-2 di Liege.
Rosicky, 29, memberi amaran kepada kelab Belgium itu bahawa dia akan lebih memberi ancaman pada aksi hari ini berbanding apa yang dilakukannya sebelum ini apabila Arsenal terpaksa bangkit demi meraih tiga mata penuh selepas mendahului dua gol.
“Dari segi kecergasan, sudah pasti ia semakin baik sejak minggu-minggu kebelakangan ini. Saya tidak rasa keletihan selepas perlawanan,” kata Rosicky




